Sunday, August 21, 2016

cerpen : Hani

Bismillah.

Sebuah cerita pendek :

Kisah seorang perempuan yang dibelenggu masalah setiap hari, Hani. Hani memang mempunyai ramai kawan, tak kira lelaki atau perempuan. Yang pastinya, kawan perempuanlah yang sangat rapat dengannya dan yang paling ramai. Kawan lelaki, cukuplah sekadar kenal sebagai kawan tadika, kawan sekolah rendah dan sekolah menengah, sehinggalah kawan di universiti. Oh ya, Hani seorang graduan universiti dari Mesir.

Sejak zaman sekolah, Hani sangat happy go lucky orangnya, cool dan senang dibuat kawan. Hani tidak pernah minta untuk diminati atau disegani oleh orang lain atau menjadikan dirinya sebagai idola. Tidak pernah terlintas di hatinya untuk berkawan atas sebab mempunyai kepentingan peribadi dan beliau sendiri mengharapkan orang yang rapat dengan beliau bukan kerana sebab - sebab peribadi.

Setelah Hani meningkat dewasa, sekitar umur 20-an, dikala zaman kawan - kawan ada yang sudah berumahtangga, Hani hanya mendoakan yang terbaik buat dirinya dan keluarga, serta fokusnya ketika itulah adalah belajar. Memandangkan sekitar 20-an, tika waktu Hani masih di universiti.

Dalam kehidupan seharian Hani yang agak sibuk, Hani tidak pernah terfikir yang akan ada orang yang memerhatikan dirinya dari jauh, tidak kiralah secara maya ataupun secara realiti. Hani hanya menjadi dirinya, bersederhana dan tidaklah terlalu menonjol dalam kalangan pelajar - pelajar yang lain di universitinya, sama ada dalam aspek pelajaran mahupun persatuan yang diceburinya.

As time goes by, seorang lelaki telah cuba untuk mengenali Hani dengan lebih dekat. Hasrat lelaki itu telah disampaikan melalui orang tengah. Setelah Hani berbincang dengan broker tersebut, bersama ibu ayah serta kawan rapat Hani, Hani membuat keputusan untuk tidak menerima hasrat lelaki yang ingin bertaaruf dengannya walaupun beliau sedar yang beliau tidak boleh lari untuk berjumpa atau terserempak memandangkan banyak urusan Hani dengan lelaki tersebut. Hani harus tetap tabah dan cekal dalam menghadapi hari - harinya yang mendatang. Tidak perlu ada perasaan bersalah dalam hati.

Selang sebulan, datang lagi seorang jejaka yang berhasrat untuk mengenali Hani. Hasrat jejaka tersebut disampaikan melalui kakaknya yang dimana Hani sangat kenal. Kali ini, Hani lebih matang dalam membuat keputusan di samping mengambil kira pandangan kedua ibu bapanya yang lebih terbuka dan senang hati untuk mengatakan ya untuk proses perkenalan antara beliau dengan jejaka tersebut. Proses perkenalan atau taaruf antara Hani dengan lelaki tersebut melalui orang tengah, berjalan lancar, sehinggalah kedua duanya setuju untuk meneruskan ke peringkat seterusnya. Ibu bapa untuk kedua - dua belah pihak juga, Alhamdulillah setuju dan telah saling mengenali.

Kini, Hani yang berstatuskan milik seseorang walaupun bukan 100%, beliau cuba untuk menjaga hati dan perasaan orang lain. Beliau sedar, proses untuk ke alam perkahwinan yang tidak pasti lagi, mencetuskan perasaan ragu - ragu dalam hatinya. Walaubagaimanapun, Hani sedang berusaha  menepis perasaan tersebut, kerana perasaan ragu - ragu datangnya daripada syaitan. Beliau harus terus mendoakan yang terbaik bagi setiap detik yang bakal dilaluinya.

Dalam menjaga hati dan perasaan orang lain, dengan statusnya kini, masih ada lagi yang rupa - rupanya memendam perasaan suka dan ingin mengahwini Hani.
Bukan seorang, tetapi lebih daripada tiga orang yang hadir tidak putus - putus.

Seorang yang tidak pernah disangka, seorang yang agak hebat berkata - kata di zaman universitinya, telah cuba menyampaikan hasrat untuk mengenali Hani melalui orang tengah yang juga merupakan kakaknya. Kakaknya adalah bekas housemate Hani. Hani menolak dengan cara baik kepada kakaknya walaupun ketika itu adalah detik yang sangat kelakar. Hani juga perlu menepis segala persepsi tentang lelaki tersebut kerana Hani sedar, beliau akan tetap bekerja dengan lelaki tersebut kerana dibawah satu unit yang sama dan mempunyai projek mendatang bersama - sama.

Kemudian, sehari setelah bergelar graduan, Hanif yang memang memendam perasaan terhadap Hani, sejak di bangku sekolah rendah juga telah menyampaikan hasratnya. Kali ini tanpa orang tengah, terus melalui whatsapp, Hani pasti Hanif mendapatkan nombor Hani dari kawan perempuan sekolah Hani. Hani sangat mengenali lelaki ini, dan ibu bapa Hani juga sangat mengenali ibu bapa Hanif. Hanif sangat mengenali Hani, sejak di bangku sekolah rendah bersama - sama, sekolah menengah juga bersama - sama. Cuma tidak pernah satu kelas. Perasaan suka Hanif terhadap Hani sangat menyerlah ketika di sekolah menengah. Seorang yang tidak pernah lupa untuk memberinya hadiah setiap tahun, kecuali ketika Hani di luar negara. Secara hakikatnya, akhirnya, Hani menolak secara baik dengan memberitahu statusnya kini. Hanif boleh menerima kenyataan walaupun agak sukar.

Dalam masa yang sama, selang beberapa hari, kawan sekolah menengah Hani, iaitu Farid juga menyampaikan hasratnya melalui ibunya. Hani sedikit rungsing memikirkan masalahnya kerana melibatkan ibu Farid secara terus melalui Facebook. Hani menceritakan secara jujur kepada Farid untuk mengelakkan salah sangka. Sejujurnya, Hani tidak pernah memberi harapan kepada sesiapa pun yang pernah memendam perasaan terhadap Hani. Farid akhirnya, dapat menerima kenyataan walaupun katanya agak pahit untuk diterima kerana lebih beberapa tahun menunggu jawapan.

Seorang jejaka lain yang Hani hanya kenal walaupun tidak dapat mengecam mukanya, sebagai kawan sekumpulan di kem BTN, juga telah menghantar whatsapp kepada Hani secara terus. Namanya Aliff. Terdetik di hati Hani, "Daripada mana dia dapat nombor?" Hani cuba berterus terang akan statusnya kini. Alhamdulillah Aliff dapat menerima kenyataan dan berterima kasih kepada Hani kerana berterus - terang.

Seorang lagi lelaki, sejak di zaman Myspace ketika di Tingkatan 3, dan tetap mengekori perkembangan Hani sehingga di Facebook dan Instagram, akhirnya meluahkan perasaan yang terpendam melaui Facebook, ingin memperisterikan Hani. Untuk lelaki yang ini, Kamal, Hani berasa sedikit ralat kerana Hani pernah menyukai Kamal. Hani cuba menepis segala perasaan seperti, "Ah, kenapa dia lambat." Perasaan atau lintasan hati seperti ini seharusnya tidak tercetus di benak fikiran Hani. Cepat - cepat Hani beristighfar dan berdoa semoga lelaki tersebut mendapat seorang yang lebih baik darinya.

Empat lelaki yang diceritakan di atas, mereka rupa - rupanya menunggu saat yang sesuai bagi menyatakan hasrat mereka kepada Hani, iaitu setelah Hani bergelar graduan. Tidak ketika Hani masih belajar, walaupun ketika Hani di luar negara, ada juga mereka bertanya bila Hani akan habis belajar, bila Hani akan pulang ke Malaysia. Sungguh tidak disangka apa yang berlaku selepas itu. Ya, memang benar, Allah tahu segalanya.

Kini, Hani yang berstatuskan milik orang walaupun bukan secara sah lagi, meneruskan kehidupannya seperti biasa, tetap beristikharah dan memohon petunjuk semoga Allah memandu segala isi hatinya. Bukan kerana rasa terpaksa untuk memiliki atau dimiliki, akan tetapi kerana dorongan daripada Allah dan bukan dari godaan syaitan. Kadang - kadang Hani terfikir untuk memakai nametag, "I am taken" sebab mata - mata yang memandang, kita tidak tahu apa yang terlintas di benak fikiran mereka.

Tamatlah kisah seorang yang bernama Hani. Mempunyai masalah seperti ini sejak di zaman sekolah rendahnya sehingga sekarang. Ibu bapanya juga risau terhadap diri beliau. Doakan Hani.

..............................................

Kisah ini hanyalah rekaan semata - mata. Tiada kena mengena dengan yang hidup atau yang telah meninggal dunia :)

Wallahua'alam

No comments:

Post a Comment